Pergaulan antara kita dengan orang di sekeliling sudah kurang kemesraan dan sering berlaku ketengan. Tiada lagi perasaan kasih sayang, toleransi, semangat setai kawan, kerjasama berpasukan dan bersatu padu. Percakaran berlaku di rumah, pejabat, kejiranan, surau malah di jalan raya juga. Sikap toleransi sudah hilang dan tidak menjadi pegangan masyarakat masa ini. Memelihara hubungan silaturahim adalah satu kewajipan kepada umat Islam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriyawat oleh Muslim bermaksud : " Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya selalu menolong saudaranya."Oleh sebab itu, jika kita mahukan pertolongan Allah, kita perlu memelihara hubungan dengan manusia dan hidup tolong-menolong antara satu sama lain. Antara bentuk taqarrub yang paling berharga, ketaatan yang paling agung, memeliki kedudukan yang paling tinggi, keberkatan yang agung, mendatangkan manafaat yang besar dan mencakupi dunia dan akhirat adalah silaturahim. Untuk mengenali saudara kita supaya kemesraan dan kefahaman terpelihara adalah seperti berikut :
1. Selalu Ingat Kebaikan Orang. Orang di sekeliling kita ini merupakan sebahagian daripada hidup kita. Merekalah yang menjadikan kehidupan kita penuh warna-warni, suka duka, gembira ria dan sebagainya. Kita tidak boleh sendirian tanpa rakan, jiran, jemaah, pasangan atau sesiapa sahaja yang kita perlukan. Ada orang yang kita umpat, kutuk dan keji tetapi hakikatnya merekalah orang yang penting dalam hidup kita. Supaya kita menyukai seseorang, kita haruslah selalu melihat kebaikan yang telah mereka lakukan terhadap kita. Sebagai contoh jika di pejabat kita suka mengumpat dan mengutuk ketua kita. Cuba kita bayangkan kebaikannya kepada kita seperti meluluskan cuti, memberikan sokongan naik pangkat, kenaikan gaji, tempat rujukan dan sebagainya. Melihat kebaikan orang boleh melupakan kita kepada kelemahan mereka. Kita akan lebih menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita.
2. Hormati Perbezaan. Manusia dijadikan Allah sungguh unik dan setiap individu berbeza. Perbezaan dari segi fizikal, intelektual, emosional dan juga spiritual. Kita sering beranggapan bahawa semua orang itu sama maka kita mahu orang mengikut cara kita. Hakikatnya perbezaan itulah yang membentuk kerjasama dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Kita harus menghormati keunikan dan perbezaan setiap individu. Perbezaan tersebut berfungsi untuk saling menampung kekurangan antara kita.
3. Sampaikan Kebaikan. Tujuan berkomunikasi adalah untuk menyampaikan dan menerima maklumat. Teknik yang membolehkan kita mengekalkan keharmonian silaturahim adalah dengan cara menyampaikan perkara-perkara yang baik sahaja. Jika terdapat maklumat yang tidak baik, kita harus elak atau tidak dipanjangkan. Lebih-lebih lagi jika perkara tersebut berkenaan dengan keaiban seseorang. Janganlah kita dedahkan aib orang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Seorang hamba yang menutup aib seorang hamba yang lain di dunia, nescaya Allah tutup aibnya di akhirat kelak." ( Riwayat Muslim ).
4. Lihat Kelebihan Orang. Setiap orang memiliki kelebihan sendiri yang tidak ada pada orang lain. Hidup kita sebagai Muslim adalah untuk saling menampung kekurangan Muslim yang lain, bukannya bertanding untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Kita seharusnya saling membantu dalam membuat kebaikan. Kekuatan Islam dapat dibina sekiranya semua umat Islam mementingkan saudaranya. Jika kita terus berpecah belah dalam masyarakat, ia akan memberikan peluang dan ruang kepada musuh untuk menguasai kita. |
No comments:
Post a Comment